TRAGEDI merUBAH

Perubahan pada diri insan hamba adalah satu perjalanan dalam perjalanan menuju ALLAH SWT. Ia sentiasa berlaku walau berbeza di antara hamba. Perubahan adalah perjalanan kerohanian hamba. Namun ada juga yang tidak sempat berubah dan tidak berubah.

ALLAH SWT menegaskan dan menyeru bermaksud bahawa, "Sesungguhnya ALLAH SWT tidak mengubah nasib sesuatu kaum itu sehingga kaum itu sendiri yang mengubahnya". Ini  ketetapan ILAHI tentang proses perubahan atau sunnatuLLAH.

Perubahan yang saya maksudkan ialah perubahan kearah kebaikan atau perubahan positif dari sudut pandangan agama.

Seruan  dan harapan ALLAH SWT yang  paling utama ialah perubahan hamba NYA dari tidak peduli agama ke peduli agama, iaitu AL-ISLAM.  Jelasnya, dari tidak peduli kebenaran ke peduli kebenaran. Tunggak dasarnya ialah dari tidak peduli kepada ALLAH SWT kepada peduli kepada ALLAH SWT.

Dan kepedulian itu di atas jalan yang sebenar semata benar di sisi NYA jua. Tiada di sisi yang lain selain dari ALLAH SWT. Hanya kerana ALLAH SWT.

Dari seorang individu, peribadi hamba kepada kaum yang besar di atas janji, harapan dan ketetapan yang sama. Diatas matlamat ISLAM

Perubahan, suatu yang sukar. Perubahan, berkait kukuh dan langsung dengan ikhtiar hamba. Sukar kerana melibatkan aqal fikiran dan hawa nafsu hamba itu sendiri. Komponen aqal fikiran, hawa nafsu itulah yang menilai erti dan hakikat perubahan serta kepentingan insan.

Jelas, berbagai faktor yang menyukarkan. Dalaman diri seorang hamba atau kaum dan luaran serentak yang menghalang dan mencabar.

Ada ketikanya, dari kepelbagaian faktor itu ada yang meyakitkan ; pedih pilu dan parah pada yang mengalami.

Semua faktor perubahan dalaman dan luaran adalah bahasa untuk di mengertikan hamba lalu bawalah diri ke arah jalan kebenaran.

Pada saya, peristiwa pembunuhan Memali 1985 adalah antara  langkah perubahan diri saya.

Saya tidak boleh menerima dan redha seorang rakyat, Almarhum Ustaz Ibrahim Libya yang bertaraf  guru agama di tembak mati oleh pihak pemerintah. Saya mengengkari kerja pemerintah ini. Saya tidak rela dan tidak redha.

Saya tidak sangka perubahan berlaku di sebabkan peristiwa hitam Memali. Perubahan serentak, terus memperjuangkan usaha untuk menegakkan kesyumulan ISLAM dalam negara tercinta ini. Sebelum  peristiwa hitam Memali,  saya lebih cenderung dan  suka gaya sufi, bertarikat dan bawa diri sendiri.

Ternyata sedemikian saya memahami, tiada kesyumulan dalam hidup dan perjuangan.  Justeru tidak merasai kemanisan perubahan diri bila melihat kemungkaran dan maksiat meningkat setiap detik dalam negara.

Saya bermohon dan berharap perubahan jalan dalam perjalanan menuju RABBINA ini di redhai ALLAH SWT.

Saudara anda di jalan ALLAH

Fikri-Masjid Uthmani
Kampung Kolam, 16400 Melor, Kota Bharu, Kelantan DN.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *